Sunday, November 21, 2010

25.serasi


Dalam persahabatan biasanya keikhlasan dan kejujuran diperlukan. Kita kurang titikberatkan soal keserasian. Semakin ramai kita bersahabat bermakna kita dikatakan pandai bersosial. Manusia sememangnya bersifat sosial. Saling tolong menolong dan tegur menegur antara satu sama lain.


Keserasian mencari pasangan hidup adalah lumrah alam. Ciri-ciri yang utama ditetapkan. Mungkin satu,dua dan tiga. Sekiranya terlalu memilih agak sukar untuk mendapat apa yang kita cari. Ada yang berkata cinta itu buta. Ini bermakna orang itu tidaklah memilih dan menerima sahaja kelebihan serta kekurangan pasangannya itu.

Thursday, November 18, 2010

24.korban



Korban pertama di dunia ini kerana cinta. Nabi Adam dan Hawa melahirkan dua pasang kembar. Qabil bersama kembarnya perempuan dan adiknya Habil bersama kembarnya perempuan. Qabil dikehendaki berkahwin dengan kembar Habil tetapi Qabil memilih kembarnya sendiri. Mereka melakukan korban, korban Habil diterima dan Qabil membunuh Habil.


Mencintai dan menyayangi seseorang biarlah berpada-pada dan jangan berlebihan. Nanti berlaku tidak keseimbangan pada hati. Korban masa juga mencintai alam ini seperti flora,fauna,bukit bukau,sungai dan lain-lain. Jangan sampai mengingati seseorang itu tiada selera untuk makan,tidur malam tidak lena dan terasa mandi tidak basah. Nanti kita akan jatuh sakit. Belum sempat kita korban, kita sendiri yang terkorban kerana ikutkan perasaan sendiri.

Sunday, November 14, 2010

23.pertemuan


Sekarang ini bermacam cara manusia berkenalan. Antaranya menggunakan handphone,internet dan lain-lain. Mereka boleh berhubung dengan menggunakan kata-kata,suara dan melalui gambar. Bila hati mulai berkenan pada seseorang, perasaan untuk berjumpa mulai muncul.


Pertemuan pertama kali amatlah penting. Masing-masing saling memerhatikan antara satu sama lain. Pada wajah, pakaian , bentuk tubuh dan lain-lain. Ada setengah orang asyik perhatikan mata sahaja. Barangkali dari pertemuan itu terdapat keserasian. Semoga dari pertemuan itu akan menghasilkan satu ikatan yang lebih kukuh pada masa depan. Diharap berkekalan sampai ke anak cucu.

Tuesday, November 9, 2010

22.kesunyian


Bukannya sepanjang hari, kita ada aktiviti harian. Kalau ada aktiviti ,tidaklah kita merasa sunyi. Bermacam aktiviti boleh dilakukan seperti membaca buku,melukis,memasak,menonton dan lain-lain. Ada setengah orang, semasa dia melakukan sesuatu kerja ,dia tetap merasa sunyi.


Bila kesunyian melanda diri, hati kita mulai rasa kosong. Di saat itu ,kita perlukan teman untuk meluahkan sesuatu. Kepada yang mempunyai kekasih hati, boleh lah bersembang, berborak-borak dan berjalan-jalan. Sementara yang masih keseorangan itu biasanya mulai berangan-angan mempunyai teman hidup. Bila sudah mempunyai teman hidup, hati kita tidaklah merasa kesunyian lagi.

Saturday, November 6, 2010

21.perpisahan


Pertemuan dan perpisahan adalah sesuatu yang kita tidak dapat elakkan. Pertemuan adalah menggembirakan sementara perpisahan amatlah menyedihkan. Paling menyedihkan sekiranya perpisahan itu bukan atas permintaan kita. Kenangan manis yang telah terpahat di hati kita seperti gurau senda bersama si dia akan menghantui diri kita. Tinggallah memori bersemadi di sudut hati yang luka dan parah.


Dari sudut yang lain, perpisahan amatlah dinantikan dan menggembirakan. Apabila dua hati tidak lagi sehaluan, kedua-dua insan akan memilih jalan masing-masing. Tiada guna hidup bersama lagi sekiranya masing-masing sentiasa berbeza dan sukar untuk saling memahami.