Sunday, October 16, 2011

43.andaian



Sering kali kita membuat andaian pada sesuatu perkara. Andaian yang kita buat itu kerana kekurangan maklumat yang ada. Biasanya sesuatu andaian dibuat berasaskan pada pengetahuan dan pengalaman yang kita ada. Andaian kita itu ada kalanya benar dan salah.

Andaian yang salah sudah semestinya mendatangkan kesan buruk. Ianya akan melibatkan diri sendiri,masyarakat dan negara. Lebih-lebih lagi jika andaian itu berdasarkan dari khabar-khabar angin sahaja dan bukan dari sumber-sumber yang boleh dipercayai. Akibatnya fitnah akan terjadi. Ini semua akan menyusahkan semua orang. Oleh kerana itu sentiasalah berhati-hati semasa membuat sebarang andaian.

Wednesday, October 5, 2011

42.sempurna


Kebanyakan kita inginkan kesempurnaan. Kesempurnaan yang kita miliki itu menjadikan kita merasa bangga. Di samping itu juga kita akan mendapat pujian di atas kemampuan dan keupayaan kita. Kita tidak lagi dipandang serba kekurangan di kalangan masyarakat. Pernah juga kita terfikir disebalik kesempurnaan itu ada kekurangan dan kelemahannya yang tersendiri. Jadi agak sukar menentukan sesuatu itu begitu sempurna.

Sudah menjadi lumrah alam, sesuatu yang bersifat sempurna itu tidaklah berkekalan. Sekiranya ianya terjadi nanti,janganlah kita merasa sedih hati. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada dan hargailah sesuatu itu selagi ianya menjadi milik kita.

Sunday, September 25, 2011

41.kritik


Mengkritik seseorang itu amatlah mudah tetapi ianya akan memberi kesan kepada penerimanya samada positif dan negatif. Kritikan yang berlebihan akan menyebabkan seseorang itu akan menjadi marah dan merasa sedih. Oleh itu, kritiklah dengan cara yang berhikmah untuk membaiki seseorang itu. Sebaliknya jangan pula dengan niat untuk memburuk-buruk dan menghinanya.

Sebarang kritikan yang diterima, kita mestilah berlapang dada dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Mungkin kritikan itu dapat membaiki kelemahan dan kekurang yang kita ada. Oleh itu kita dapat memperbaiki diri kita supaya hidup kita lebih baik lagi. Sebaliknya kritikan yang keterlaluan mungkin akan melemahkan semangat diri kita. Jangan biarkan ianya berlaku dan banyakkan bersabar seterusnya anggapkan semua itu adalah ujian.





Thursday, July 21, 2011

40.sederhana


Alam ini penuh dengan keindahan dan kecantikan. Perasaan ingin memiliki semua itu menjadi idaman hati kita. Kita akan berusaha untuk mencapainya. Sekiranya tamak menguasai diri kita, kita akan menjadi tidak aman lagi.

Justeru itu, hiduplah dengan serba sederhana. Jangan biarkan kenikmatan yang bersifat sementara itu menguasai diri kita. Biarlah kita yang menguasainya.








Thursday, June 2, 2011

39.kebenaran


Di antara perkara yang sukar di dunia ini adalah mencari kebenaran. Kita sentiasa keliru kerana kepalsuan ada di mana-mana dan bila-bila masa. Ada waktunya, kita sangka sesuatu perkara itu benar tetapi rupanya ianya adalah palsu. Hidup dalam kepalsuan membawa kepada keruntuhan dan kehancuran. Oleh itu carilah kebenaran, supaya hidup ini lebih bermakna.


Ada ketikanya kebenaran itu sudah jelas dan terang. Namun begitu kita masih tidak dapat menerimanya kerana beberapa alasan. Antaranya kerana kebenaran itu terlalu pahit untuk ditelan. Walau apa jua alasan, kita kenalah menerimanya dengan penuh rendah diri.

Sunday, May 15, 2011

38.ketenangan


Kehidupan di dunia ini penuh dengan rintangan,masalah dan cabaran. Kita tidak dapat lari dari menghadapi semua itu. Sekiranya kita gagal, sudah tentu kita merasa risau dan bimbang. Ketenangan di hati mulai hilang dan menjadikan kita tidak tentu arah.

Oleh kerana itu, kita sentiasa menjadi jalan untuk mencari ketenangan. Semoga kita semua mendapat jalan keluar dari kerusingan dan kebimbangan yang melanda hati.




Sunday, April 17, 2011

37.menyesal


Pada satu ketika kita pernah membuat keputusan dan tindakan berdasarkan pemikiran kita. Kita anggap semua itu adalah jalan yang terbaik. Seterusnya kita mengharapkan kegembiraan bakal kita miliki.

Hari demi hari telah berlalu, bulan berganti bulan dan tahun bertukar tahun. Apa yang kita harapkan tidak menjadi kenyataan. Kita sedari iaitu kita telah melakukan kesilapan dan kesalahan di atas tindakan yang lalu. Sudah semestinya kita merasa menyesal. Menyesal dahulu pendapatan tapi menyesal kemudian tiada gunanya lagi. Semoga apa yang telah berlaku menjadi pengajaran buat kita di masa depan.





Tuesday, March 29, 2011

36.bimbang



Kita tidak tahu dengan pasti apa yang berlaku esok hari. Mungkin perkara buruk dan mungkin juga perkara baik menimpa kita. Sudah tentu perasaan bimbang akan hadir di hati kita andainya perkara yang tidak diingini berlaku. Perasaan bimbang yang keterlaluan merupakan sesuatu yang perlu kita hindari kerana ianya mendatangkan masalah yang lain pula.

Sebaliknya kita mestilah tanamkan perasaan berani menghadapi apa jua yang berlaku. Apa jua yang kita lakukan mestilah diusahakan dengan sebaik yang mungkin. Oleh kerana itu, kita tidak perlu merasa takut dan bimbang. Kita hanya merancang dan tuhan yang menentukan.

Saturday, February 26, 2011

35.hati


Perasaan letaknya di hati. Apakah dikatakan hati dan di manakah letaknya hati? Ada yang mengatakan hati itu adalah liver. Fungsi liver adalah membersihkan darah. Ada juga mengatakan hati itu adalah jantung. Fungsi jantung adalah mengepam darah. Ramai juga mengatakan hati itu bersifat batin dan ghaib. Jadi, hati tidaklah nampak tetapi hanya dapat dirasa.

Mengikut saintifik, perasaan dan emosi diproses pada amygdala. Amygdala itu letaknya di brain. Amygdala mempunyai banyak hubungan antaranya deria,akal,memori dan lain-lain. Ianya berhubung juga dengan degupan jantung. Setiap kali amygdala memproses perasaan dan emosi, ia akan memberi kesan pada degupan jantung. Semoga suatu hari nanti, kita dapat memahami apa yang dikatakan hati sebenarnya.

Saturday, February 12, 2011

34.memori




Apa yang berlaku sepanjang hidup kita, ada yang kita simpan dalam memori. Memori ada yang bersifat sementara dan kekal. Bila kita berdepan dengan sesuatu situasi, memori sementara akan bekerja. Jika ada perkara penting, kita akan masukkan ke dalam memori kekal. Dalam memori kekal, ada bermacam jenis memori. Antaranya memori tentang pengalaman yang memberi kesan yang mendalam, memori tentang aktiviti yang selalu dilakukan,memori tentang fakta dan lain-lain.

Sebelum kita membuat sebarang keputusan, kita ambil semua data-data dan info dari memori kekal untuk mendapatkan keputusan yang terbaik. Kemudian barulah kita bertindak. Memori kekal itu boleh terpadam dan menjadikan kita lupa. Memori yang ada banyak memberi kesan pada diri kita samada memori baik ataupun buruk. Jika memori buruk ia akan memberi kesan yang negatif pada hormon,aliran darah,degupan jantung,urat saraf dan lain-lain. Semoga kita sentiasa lakukan kerja yang baik untuk mendapatkan memori yang indah. Seterusnya kita merasa bahagia.


Monday, January 31, 2011

33.persekitaran


Boleh dikatakan persekitaran merupakan faktor utama membentuk diri seseorang. Ketika dilahirkan, seseorang itu adalah bersih. Kemudian ahli keluarga yang mencorak dan membentukkannya. Kemudian pengaruh dari pergaulan dari orang ramai terutama dari kawan-kawan. Seterusnya masyarakat setempat samada kampung dan bandar turut menentukan corak kehidupan seseorang.

Bila usia sudah meningkat, kita mestilah menilai diri kita sendiri. Sekiranya terdapat kepincangan dan keburukan pada diri, kita mestilah memperbaikinya. Kita hendaklah melakukan perubahan kearah kebaikan. Kita tidak boleh lagi salahkan persekitaran. Kita kenalah mencorakkan diri kita sendiri. Seterusnya kita pula dapat pengaruhi dan membentuk persekitaran menjadi lebih baik serta aman sentosa.

Tuesday, January 25, 2011

32.perasaan


Dunia ini penuh dengan warna-warni. Begitu juga dengan perasaan. Selagi kita punya hati, selagi itulah kita ada perasaan. Perasaan ada yang positif dan ada yang negatif. Yang positif seperti merasa gembira dan negatif seperti merasa sedih. Ada kalanya perasaan yang positif boleh menjadi negatif dan sebaliknya. Perasaan yang ada di hati, ada yang bersifat sementara dan kekal lama. Ianya bergantung pada persekitaran dan hati individu itu sendiri.

Perasaan adalah merupakan motivasi pada seseorang. Perasaan kemahuan dan keinginan untuk memiliki sesuatu menyebabkan seseorang itu berusaha dengan tekun dan gigih. Contohnya jika Roslan kenal Anita. Anita seorang yang cantik. Roslan tertarik dan suka pada Anita. Perasaan suka itu menyebabkan Roslan berfikir untuk memiliki Anita. Dia akan berusaha seperti hantar bunga,sms,call,dating dan sebagainya. Dengan perasaan kasihsayang manusia membiak ke hari ini. Jika dibandingkan dengan fikiran, ada kalanya perasaan lebih cepat,lebih tepat dan lebih berkesan. Ini dipanggil mata hati.

Friday, January 21, 2011

31.minda



Minda amat penting bagi setiap orang. Di antara fungsinya untuk menafsirkan isyarat yang diterima dari deria kita. Jadi minda dapat memahami persekitaran kita. Info dan data dapat dikumpulkan dan disimpan serta ianya menjadi memori. Kita akan analisa segala memori yang ada untuk mendapatkan keputusan yang tepat dan bertindak dengan bijak. Minda juga alat pada perasaan kita. Perasaan keinginan pada hati memerlukan minda untuk merealisasikan. Minda juga berperanan untuk mengawal perasaan yang buruk. Oleh kerana itu minda perlukan pengetahuan.


Perasaan dan minda saling berkaitan serta saling memerlukan. Umpama isi dan kuku. Aur dan tebing. Tindakan menggunakan perasaan tanpa minda adalah tidak rasional dan sia-sia. Sementara tindakan menggunakan minda tanpa perasaan menjadikan kaku dan tidak bermaya. Minda yang baik terletak pada badan yang sihat. Oleh itu kesihatan diri perlu dijaga.



Thursday, January 13, 2011

30.emosi


Setiap orang ada emosi. Mungkin ramai yang anggap emosi adalah perasaan. Sebenarnya tidak kerana perasaan adalah salah satu komponen emosi. Terdapat 5 komponen emosi adalah 1-persekitaran ianya dapat pengaruhi 2-perasaan dan perasaan itu menyebabkan 3-kognitif(minda) dan membawa pada 4-fisiologi(hormon dan urat saraf) seterusnya membentuk 5.behavior yang membawa kepada tindakan.

Contohnya, Ali sedang tidur. (1-Persekitaran)Tiba-tiba ada bunyi yang kuat. (2-Perasaan) Dia terkejut dan merasa takut. (3-Kognitif) Dia ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku. (4-Fisiologi) Jantungnya bertambah kencang. (5-Behavior) Seterusnya dia mencari-cari puncanya dan didapati gas dapurnya meletup. Dia panggil bomba. Setiap orang mempunyai perjalanan emosi yang berbeza-beza. Semoga kita dapat menguruskan emosi kita dengan lebih teratur dan menjadikan hidup kita lebih aman.

Sunday, January 2, 2011

29.azam


Ketika Nabi Adam dan Hawa tinggal di syurga, mereka dibenarkan makan apa sahaja kecuali jangan dekati sepohon pokok. Syaitan telah berbisik kepada mereka supaya dekati pokok itu. Akhirnya mereka berdua telah termakan pujuk rayu dan terpedaya dengan syaitan. Oleh kerana kesalahan itu Nabi Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga yang penuh nikmat dan diturunkan ke bumi ini. Nabi Adam menyesal dan bertaubat kerana tiada keazaman yang kuat untuk tidak dekati pokok itu.

Semua orang ada impian dan cita-cita masing-masing. Semoga apa kita cita-cita itu adalah yang baik. Untuk mencapainya kita kenalah berusaha bersungguh-sungguh. Tanamkan azam di hati. Kata orang genggam bara sampai menjadi arang.



Monday, December 20, 2010

28.setia


Apabila seseorang itu memasuki di alam pekerjaan, beberapa cabaran mesti dihadapi. Apa jua bidang perkerjaan mempunyai masalah yang tersendiri. Setengah orang kadangkalanya tidak dapat bertahan dan terus berhenti kerja. Mereka cuba mencari kerja yang lebih baik dan dapat memenuhi cita rasa mereka. Namun begitu masih juga ada insan yang begitu setia pada syarikat. Mereka tetap bertahan walaupun berdepan dengan berbagai masalah.

Dalam pergaulan seharian kita mempunyai ramai kenalan antaranya kawan,sahabat,kekasih dan lain-lain. Sekiranya kita mempunyai kesetiaan pada mereka, kita akan cuba bersama mereka dalam apa jua situasi. Malangnya ada juga yang meninggalkan kenalannya jika temannya mempunyai masalah. Ada juga suka memburuk-burukkan temannya itu. Diharapkan kita semua cuba tanamkan kesetiaan di hati. Barulah keharmonian dapat tercipta. Setialah selagi orang setia pada kita.



Sunday, December 12, 2010

27.diam


Diam ubi berisi sementara diam besi berkarat. Di waktu kita mengalami masalah ataupun kesedihan adakalanya kita mengambil sikap berdiam diri. Sekiranya kita berborak ini akan memungkinkan akan menyakiti orang lain. Di waktu berduka itu biarlah kita bersendirian untuk mengubati hati yang terluka. Ada juga kita berdiam diri sekiranya ada perbalahan dan pergaduhan. Ini dilakukan untuk mengelak keadaan akan bertambah buruk lagi.

Berdiam diri juga akan membuatkan orang lain akan merasa serba salah. Mereka anggapkan orang yang diam seribu bahasa itu telah memutuskan persahabatan ataupun perhubungan yang telah sedia terjalin. Sekiranya kita terus berdiam diri sedangkan mereka inginkan penjelasan. Berpesan-pesan dengan kebenaran,kesabaran dan berhikmah. Semoga berdiam diri tidak akan membuatkan jiwa kita bertambah parah lagi dan orang lain tertanya-tanya.


nota:lukisan oleh numara

Saturday, December 4, 2010

26.janji



Sebelum kita dilahirkan ke dunia ini, ruh kita telah berjanji pada tuhan. Ketika tuhan bertanya :Siapa tuhanmu? Kemudian ruh kita menjawab: Engkaulah tuhanku ya Allah. Setelah kita dilahirkan, kita mulai lupa dan semestinya kita akan kembali kepadaNya.


Kita tidak dapat lari dari berjanji, samada sedikit dan banyak sahaja. Ada setengah orang suka menabur seribu janji tetapi jarang untuk ditepati. Ini sudah tentu menyebabkan orang tidak hormatinya. Oleh itu diharapkan janganlah suka memberi janji sekiranya kita tidak mampu memegangnya kelak nanti ada orang yang benci pada kita. Lebih malang lagi sekiranya kita berjanji pada diri sendiri tetapi tidak kita tunaikan.



Sunday, November 21, 2010

25.serasi


Dalam persahabatan biasanya keikhlasan dan kejujuran diperlukan. Kita kurang titikberatkan soal keserasian. Semakin ramai kita bersahabat bermakna kita dikatakan pandai bersosial. Manusia sememangnya bersifat sosial. Saling tolong menolong dan tegur menegur antara satu sama lain.


Keserasian mencari pasangan hidup adalah lumrah alam. Ciri-ciri yang utama ditetapkan. Mungkin satu,dua dan tiga. Sekiranya terlalu memilih agak sukar untuk mendapat apa yang kita cari. Ada yang berkata cinta itu buta. Ini bermakna orang itu tidaklah memilih dan menerima sahaja kelebihan serta kekurangan pasangannya itu.

Thursday, November 18, 2010

24.korban



Korban pertama di dunia ini kerana cinta. Nabi Adam dan Hawa melahirkan dua pasang kembar. Qabil bersama kembarnya perempuan dan adiknya Habil bersama kembarnya perempuan. Qabil dikehendaki berkahwin dengan kembar Habil tetapi Qabil memilih kembarnya sendiri. Mereka melakukan korban, korban Habil diterima dan Qabil membunuh Habil.


Mencintai dan menyayangi seseorang biarlah berpada-pada dan jangan berlebihan. Nanti berlaku tidak keseimbangan pada hati. Korban masa juga mencintai alam ini seperti flora,fauna,bukit bukau,sungai dan lain-lain. Jangan sampai mengingati seseorang itu tiada selera untuk makan,tidur malam tidak lena dan terasa mandi tidak basah. Nanti kita akan jatuh sakit. Belum sempat kita korban, kita sendiri yang terkorban kerana ikutkan perasaan sendiri.

Sunday, November 14, 2010

23.pertemuan


Sekarang ini bermacam cara manusia berkenalan. Antaranya menggunakan handphone,internet dan lain-lain. Mereka boleh berhubung dengan menggunakan kata-kata,suara dan melalui gambar. Bila hati mulai berkenan pada seseorang, perasaan untuk berjumpa mulai muncul.


Pertemuan pertama kali amatlah penting. Masing-masing saling memerhatikan antara satu sama lain. Pada wajah, pakaian , bentuk tubuh dan lain-lain. Ada setengah orang asyik perhatikan mata sahaja. Barangkali dari pertemuan itu terdapat keserasian. Semoga dari pertemuan itu akan menghasilkan satu ikatan yang lebih kukuh pada masa depan. Diharap berkekalan sampai ke anak cucu.

Tuesday, November 9, 2010

22.kesunyian


Bukannya sepanjang hari, kita ada aktiviti harian. Kalau ada aktiviti ,tidaklah kita merasa sunyi. Bermacam aktiviti boleh dilakukan seperti membaca buku,melukis,memasak,menonton dan lain-lain. Ada setengah orang, semasa dia melakukan sesuatu kerja ,dia tetap merasa sunyi.


Bila kesunyian melanda diri, hati kita mulai rasa kosong. Di saat itu ,kita perlukan teman untuk meluahkan sesuatu. Kepada yang mempunyai kekasih hati, boleh lah bersembang, berborak-borak dan berjalan-jalan. Sementara yang masih keseorangan itu biasanya mulai berangan-angan mempunyai teman hidup. Bila sudah mempunyai teman hidup, hati kita tidaklah merasa kesunyian lagi.

Saturday, November 6, 2010

21.perpisahan


Pertemuan dan perpisahan adalah sesuatu yang kita tidak dapat elakkan. Pertemuan adalah menggembirakan sementara perpisahan amatlah menyedihkan. Paling menyedihkan sekiranya perpisahan itu bukan atas permintaan kita. Kenangan manis yang telah terpahat di hati kita seperti gurau senda bersama si dia akan menghantui diri kita. Tinggallah memori bersemadi di sudut hati yang luka dan parah.


Dari sudut yang lain, perpisahan amatlah dinantikan dan menggembirakan. Apabila dua hati tidak lagi sehaluan, kedua-dua insan akan memilih jalan masing-masing. Tiada guna hidup bersama lagi sekiranya masing-masing sentiasa berbeza dan sukar untuk saling memahami.

Saturday, October 30, 2010

20.kehilangan


Andaikata kita mempunyai seorang yang kita cintai, kita akan merasa takut kehilangannya. Oleh itu sepanjang kita bersamanya kita mestilah menjaga hati dan perasaannya. Memang untuk berbuat begitu adalah sukar tetapi sekurang-kurang kita kena berusaha.

Manusia hanya merancang dan tuhan yang menentukan. Kita kena menerima dengan rela dan pasrah sekiranya apa-apa terjadi samada buruk dan baik. Sesuatu yang berlaku ada hikmah sebaliknya.

Sunday, October 24, 2010

19.cemburu


Kata orang, cemburu itu tandanya cinta. Mungkin ada kebenarannya. Pabila kita melihat pujaan hati kita bersama dengan orang lain, kita mulai merasa curiga,sangsi dan berbagai lagi perasaan negetif melanda diri.

Perasaan cemburu yang kuat akan menguasai hati kita. Bila ianya tidak boleh dikawal lagi, hati mulai memberontak. Di saat begitu kita menjadi tidak rasional lagi. Dalam banyak kes, pergaduhan dan keretakan akan terjadi. Untuk mengelak kejadian yang buruk bakal menimpa, kekuatan hati amatlah diperlukan.

Monday, October 4, 2010

18.rindu


Ramadhan telah pergi dan aidilfitri mulai berangsur berakhir. Semuanya membuatkan kita sedih,gembira dan sepi. Kini kita merindui saat-saat begitu berulang kembali. Nampaknya setahun lagi kita kena menunggu. Semoga kita dapat harungi ramadhan dan aidilfitri sekali lagi di tahun depan.

Sesuatu peristiwa dan pengalaman yang manis di masa yang lalu membuat kita rindu. Sementara perkara yang buruk pula, kita cuba melupakan. Ini adalah kerana hati kita terasa pedih bila mengingatinya. Kadang kala perkara yang kita benci juga menjadikan kita seorang perindu. Benci tapi rindu.

Tuesday, September 14, 2010

17.sepi


Bila kita berkumpul beramai-ramai seperti di aidilfitri, suasana meriah cukup kita rasai. Gelak ketawa dan bermacam ragam telatah insan-insan di sekeliling kita. Ini sedikit sebanyak membuatkan hati kita terhibur untuk seketika. Semuanya akan membuat kita lupa kesedihan dan masalah yang mungkin kita hadapi sebelum ini.


Bila aidilfitri berangsur pergi, mereka juga turut pergi meninggalkan kita. Masing-masing membawa diri ke haluan yang berbeza-beza. Ada ke utara, ke selatan , ke barat dan ke timur. Di saat itu, hati kita mulai merasa kehilangan. Kesepian terasa melanda diri. Semoga saat-saat keceriaan dan kegembiraan akan kembali lagi. Sudah pasti kerinduan menggamit perasaan bagi mengubati kesepian yang mencengkam di hati.

Saturday, September 11, 2010

16.sedih


Kehidupan dunia ini sering berubah dan tidak tetap. Sekejap panas, sekejap hujan dan hujan panas pun ada. Begitu juga dengan hati kita. Perasaan sering bertukar ganti. Mula-mulanya sedih lepas tu gembira pula. Contohnya kita merasa sedih kerana bulan ramadhan telah meninggalkan kita. Dalam masa yang sama juga, kita merasa gembira kerana kita akan menyambut aidilfitri.


Setiap insan mempunyai berbagai-bagai bentuk dalam berdepan dengan kesedihan. Ada yang menangis sehingga mengalir airmata sehingga terasa sebak di dada. Ada juga orang, dia sengaja berpura-pura sedih. Ini mungkin sebagai cara untuk mendapat perhatian orang. Walau pun kita merasa sedih sebesar mana pun , kita kena percaya ada hikmah di sebaliknya. Kesedihan boleh menyebabkan kesihatan kita terganggu dan diharapkan perasaan sedih biarlah berlalu.

Tuesday, September 7, 2010

15.gembira


Gembira sungguh dalam hati. Biasanya kalau orang merasa gembira, akan terpancar di wajahnya keceriaan. Terukir senyuman yang memanjang. Sementara orang yang bersedih pula kelihatan murung dan tidak bermaya. Ada juga orang yang bersedih, tetapi dia masih dapat memberi sekuntum senyuman. Mungkinkah ini satu hipokrit atau pun senyuman itu sudah menjadi kebiasaannya.


Banyak sebabnya seseorang itu merasa gembira. Antaranya pabila mendapat satu kemenangan. Contohnya sepanjang bulan ramadhan dia dapat menahan lapar dan dahaga selama sebulan. Bila takbir aidilfitri bergema, hatinya merasa sungguh gembira sekali. Dapat pakai baju raya,makan kuih raya,dapat duit raya dan sebagainya. Di samping dapat jumpa sahabat handai dan sanak saudara. Namun begitu, ada juga insan kesedihan di pagi raya, mungkin terdapat banyak sebabnya.

Thursday, September 2, 2010

14.niat


Sesuatu pekerjaan mestilah bermula dari niat. Niat letaknya di hati kita. Banyak juga tugas hati ya. Di manakah letaknya hati kita ya. Susah untuk kita menjawabnya. Niat ada kalanya sering berubah. Diharapkan niat kita sentiasa untuk melakukan kerja yang baik.


Sesuatu niat yang baik mestilah dikerjakan dengan cara yang baik. Tiada gunanya kita menggunakan cara yang tidak baik untuk mencapai cita-cita kita itu. Ada juga seseorang itu berniat tidak baik tetapi menggunakan cara yang baik, tidak boleh diterima juga.